
Beliau berkata, kajian itu berdasarkan perspektif berbeza iaitu merujuk kepada keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan perubatan atau secara rehabilitasi yang telah digunakan oleh negara lain dan mengkaji kebolehlaksanaan pendekatan tersebut di Malaysia.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan, polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan badan bukan kerajaan, telah melakukan usaha terbaik dalam menangani isu berkenaan.
“Namun masalah itu tidak dapat diselesaikan dengan berkesan seterusnya menjadi punca kepada isu sistemik lain seperti kesesakan penjara dan sistem keadilan jenayah yang terbeban.
“Oleh itu, saya berpandangan bahawa pendekatan terhadap masalah dadah perlu dikaji dan dilihat semula selaras dengan perkembangan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Azalina hari ini mempengerusikan sesi perbincangan Kajian Undang-undang Berhubung Hukuman Mengenai Kesalahan Penyalahgunaan Dadah.
Perbincangan itu diadakan bersama wakil Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, KKM, ahli akademik serta wakil organisasi masyarakat sivil untuk membincangkan dan mendapatkan pandangan awal mengenai keperluan kajian undang-undang berhubung hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Menurut Azalina, kerajaan perpaduan komited untuk memelihara kepentingan golongan berisiko tinggi dalam perkara itu, seperti golongan rentan, golongan miskin serta golongan belia yang mudah dipengaruhi.
“Sesi libat urus lanjutan berkaitan perkara ini termasuk perbincangan kumpulan berfokus akan dikendalikan oleh timbalan menteri undang-Undang (undang-undang dan reformasi institusi),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan juga melihat isu penyalahgunaan dadah bukan sahaja sebagai isu jenayah, tetapi sebagai satu isu kesihatan yang memberikan kesan kepada masyarakat dari segi ekonomi, kesihatan, dan sosial.
“Kerajaan berhasrat untuk menggabungkan usaha semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pakar-pakar, dan masyarakat sivil dalam usaha untuk mencari penyelesaian yang lebih berkesan demi sebuah masyarakat Madani yang sihat dari semua aspek,” kata Azalina.