
Sebanyak 30,684 notis kompaun dikeluarkan tahun lepas bagi kesalahan itu, mencetuskan persoalan sejauh mana berkesannya larangan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, pemilik kedai makan dan pengunjung masing-masing perlu berubah sikap supaya tujuan undang-undang itu dikuatkuasakan dapat dicapai.
“Tidak kira berapa banyak dasar baharu diwujudkan,tiada bezanya jika perokok tetap tidak pedulikan kesan tabiat mereka terhadap orang lain, manakala bukan perokok dan peniaga tidak menegur mereka.
“Sikap dan perlakuan sosial mesti berubah jika mahu mengurangkan atau membanteras amalan merokok di restoran,” katanya kepada FMT.
Pindaan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, berkuat kuasa pada 1 Jan 2019, melarang perbuatan merokok di semua restoran tertutup dan terbuka, kedai kopi serta gerai di seluruh negara.
Mengikut undang-undang itu, individu ditangkap merokok di kedai makan berdepan denda, manakala pemilik dan pengendali premis boleh dikenakan tindakan jika menyediakan kemudahan untuk merokok, atau gagal menaikkan tanda larangan merokok di premis mereka.
Dalam tempoh enam bulan pertama selepas larangan itu dikeluarkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan memberi amaran dan didikan.
Penguatkuasaan kemudian digiatkan pada hujung 2019 yang melihat pegawai kementerian melakukan pemeriksaan mengejut serta mendenda mereka yang melanggar peraturan berkenaan.
Bagaimanapun, masih ramai pengunjung kedai makan merokok di premis seumpama itu sehingga hari ini.
Azrul berkata, antara isu utama mengekang penguatkuasaan peraturan itu adalah kekurangan tenaga kerja.
“Lazimnya pegawai KKM yang menguatkuasakan peraturan sedangkan bilangan mereka juga tidak ramai,” katanya.
Akibatnya tanggungjawab menguatkuasakan larangan itu jatuh pada pengendali kedai makan, namun risiko konfrontasi dengan pelanggan menyukarkan keadaan.
“Perokok mungkin bersikap agresif atau mengeluarkan kata-kata kesat dan mengancam kekerasan jika dilarang merokok di kedai makan,” katanya.
“Pelanggan lain turut memainkan peranan penting bagi membantu premis makanan menguatkuasakan peraturan. Namun sejujurnya, pelanggan (lain) hanya mahu menikmati hidangan mereka dan tidak campur urusan orang lain.”
Azreen Salleh, 34, pemilik Restoran Seri Semporna berkata, beliau tiada masalah menegur pelanggan, tetapi mengakui ada antara mereka yang “melawan”.
“Apabila lihat orang merokok, kami tegur mereka. Ada kalanya mereka bangun dan pergi ke tempat mereka boleh merokok,” katanya.
“Selalunya pelanggan degil adalah mereka yang lebih berusia dan tidak boleh terima teguran. Tetapi kami ingatkan bahawa ini adalah untuk manfaat semua pelanggan.”
Beliau sedar pemilik kedai makan boleh didenda jika tidak menguatkuasakan peraturan itu, tetapi mengakui peraturan tersebut adalah untuk manfaat semua pihak.