Duit tak cukup nak kahwin, lelaki buat repot palsu disamun

Duit tak cukup nak kahwin, lelaki buat repot palsu disamun

Polis berkata penghantar makanan berusia 22 tahun ingin menangguhkan majlis perkahwinannya kerana wang tidak mencukupi.

Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu membuat laporan palsu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penghantar makanan membuat laporan palsu mendakwa rugi RM9,000 selepas disamun empat lelaki semata-mata untuk menangguhkan majlis perkahwinannya.

Ketua Polis Seremban, Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima laporan lelaki berusia 22 tahun itu kira-kira 10 malam mendakwa dia disamun empat lelaki dekat sebuah kuil di Rantau, Seremban.

“Lelaki ini memaklumkan kehilangan wang tunai berjumlah RM9,000 bersama kad pengenalan.

“Hasil soal siasat mendapati ia tidak berlaku dan pengadu mendakwa kehilangan wang tunai RM9,000 sebenarnya kerana ingin menangguhkan majlis perkahwinan disebabkan belum cukup duit,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, semakan identiti lelaki itu mendapati suspek tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif.

Dalam kes berasingan, Arifai berkata, seorang lelaki 39 tahun membuat laporan mendakwa disamun dua lelaki di depan sebuah medan selera dekat Taman Permai, Seremban kira-kira 8.45 malam Selasa.

Katanya, kontraktor itu mendakwa kehilangan barang berharga dan MyKad, tetapi hasil soal siasat mendapati ia tidak berlaku dan dia membuat laporan palsu demi memohon semula kad pengenalan tanpa membayar denda.

“Semakan rekod mendapati pengadu mempunyai empat laporan kehilangan MyKad, selain rekod kesalahan dadah. Ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine.”

Beliau berkata, dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan polis tidak akan berkompromi dengan individu membuat laporan palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.