
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, berkata wanita berusia 72 tahun itu yang merupakan seorang pesara swasta, membuat laporan polis pada 11.40 pagi semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki pada 4 Ogos lalu, yang mendakwa dari sebuah syarikat penghantaran kononnya mangsa ada membuat penghantaran bungkusan yang tidak berjaya dihantar kepada penerima.
“Suspek turut memaklumkan bungkusan tersebut mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan, dan kad ATM. Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut.
“Mangsa kemudiannya telah disambungkan panggilan kepada dua individu yang menyamar sebagai pegawai polis masing-masing dari IPD Ipoh dan Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.
Yusri berkata, mangsa telah diperdaya dengan dituduh terlibat berkaitan kes pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram, serta diugut akan ditangkap dan dipenjarakan.
“Mangsa yang ketakutan kemudiannya telah bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh suspek dengan memindahkan semua wang milik mangsa ke dalam akaun yang diberikan suspek bagi mengelakkan daripada wang mangsa dirampas dan dibekukan,” katanya.
Yusri berkata, suspek turut berjanji memulangkan wang tersebut setelah siasatan selesai dan suspek turut mengarahkan mangsa untuk tidak memaklumkan perkara ini kepada sesiapa, kononnya bagi mengelakkan siasatan terganggu.
“Bermula 8 Ogos sehingga 6 Sept lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 34 kali pindahan wang di mesin ATM sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal di Pulau Pinang ke dalam 11 akaun bank milik seorang individu.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah perbuatan mangsa tersebut dicurigai oleh anak saudara, yang datang melawat sewaktu mangsa ingin keluar membuat pindahan wang berikutnya dan menceritakan segalanya setelah didesak oleh keluarga dan membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.