
Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional-Pasir Mas) berkata, pada masa ini, industri bernilai tinggi banyak tertumpu di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang.
“Jadi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pendapatan tinggi, limpahan ekonomi haruslah diberikan secara seimbang dan saksama kepada negeri-negeri lain.
“Saya mohon kerajaan melihat potensi seperti Kelantan sebagai lokasi membangunkan industri dengan pertumbuhan yang tinggi,” katanya di Dewan Rakyat.
Pada Nov 2022, bekas menteri tenaga dan sumber asli Takiyuddin Hassan berkata, tiga daerah di Kelantan dikenal pasti mempunyai unsur nadir bumi berjumlah 2,562,500 tan dengan nilai RM125 bilion, sekaligus menjadi potensi ekonomi baharu di negeri berkenaan.
Daerah yang dikenal pasti mempunyai potensi unsur nadir bumi, yang menurut kajian awal bukan radioaktif, ialah Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.
Unsur nadir bumi paling banyak ditemui di Aring, Gua Musang dengan keluasan 100,000 hektar, manakala Stong Batu Melintang, Jeli dan Tanah Merah masing-masing 80,000 hektar dan 25,000 hektar.
Sementara itu, Fadhli mempersoalkan sama ada kerajaan akan mengambil manfaat daripada unsur nadi bumi negeri itu sambil mengingatkan sejarah berhubung petroleum Kelantan.
“Kita tidak mahu (unsur) nadir bumi ini mengulangi sejarah petroleum minyak yang diangkut keluar oleh agensi yang hanya diutuskan oleh kerajaan pusat semata-mata.
“Di Kelantan sebagai contoh, kita mengesan bagaimana aktiviti ataupun kemasukan dana kepada kerajaan pusat dengan nilai petroleum yang tinggi tetapi kami tidak mempunyai royalti yang sepatutnya diterima,” katanya.