
Ketua Polis Perak, Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun yang juga pengurus projek syarikat swasta di Taiping semalam, selepas menyedari dirinya ditipu.
Katanya, mangsa dimaklumkan suspek terdapat satu bungkusan mengandungi kad pengenalan, pasport, kad ATM dan 100 keping wang palsu atas namanya yang dihantar kepada individu tidak dikenali di Sarawak pada 11 Ogos lalu.
“Mangsa telah bercakap dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor, kononnya hasil semakan mereka mendapati mangsa terlibat kes menjual akaun bank peribadi kepada penama tak dikenali dengan nilai RM20,000.
“Selepas itu, panggilan mangsa disambung kepada seorang lelaki menggelar dirinya Datuk yang memintanya mendedahkan semua maklumat akaun bank agar akaunnya tidak dibekukan dan akibat ketakutan, wanita itu memberi maklumat lapan akaun banknya, termasuk maklumat kad kredit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, panggilan turut disambungkan kepada seorang lagi pegawai polis Bukit Aman bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram untuk meyakinkan mangsa.
“Mangsa turut diminta mendedahkan slip gaji milik mangsa selama empat bulan, salinan e-filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), salinan geran tanah, kereta dan barangan kemas yang ada pada mangsa, kononnya bagi tujuan siasatan.
“Mangsa juga diarahkan membuat pinjaman peribadi dan mangsa membuat pinjaman RM100,000 dan membuat pindahan kepada akaun bank diberikan suspek di Bank Islam (RM50,000) dan HSBC (RM50,000).”
Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas semakan mendapati 18 transaksi pindahan wang berjumlah RM381,950 ke 11 akaun tidak dikenali dilakukan mulai 18 Ogos hingga 6 Sept lalu.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa tidak mengetahui transaksi dilakukan memandangkan akses ke akaunnya dalam kawalan sindiket secara dalam talian. Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.”