
meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’.
Tindakan itu dipercayai sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurut sumber, semua suspek berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah.
Katanya, dua orang awam yang ditahan dipercayai memberi rasuah kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.
“Semua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan itu dari 2018 hingga 2021 dan mereka ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
“Dua orang awam terbabit pula ditahan atas kesalahan memberikan wang rasuah kepada anggota penguat kuasa berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Katanya, lima suspek yang juga anggota penguat kuasa akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada 8 pagi esok untuk permohonan reman manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan diambil.