Peraturan had beli 1 rumah mampu milik akan dikuatkuasa

Peraturan had beli 1 rumah mampu milik akan dikuatkuasa

Laporan KSP RMK12 Kementerian Ekonomi berkata ia bagi memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi.

Laporan KSP RMK12 Kementerian Ekonomi menyebut tempoh moratorium 10 ke atas penjualan semula rumah akan diperluas kepada semua perumahan awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peraturan mengehadkan pembelian hanya satu rumah mampu milik bagi setiap warganegara yang layak akan dikuatkuasakan dalam usaha memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi.

Sehubungan itu, pangkalan data perumahan akan dibangunkan bagi membolehkan saringan silang maklumat pemilikan dengan agensi berkaitan yang lebih tepat untuk menentukan kelayakan pemilikan, menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi.

Laporan itu memaklumkan sistem maklumat inventori tanah yang mengintegrasikan semua maklumat tanah wakaf akan diwujudkan bagi mengenal pasti tanah bersesuaian untuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

“Di samping itu, kerjasama majlis agama negeri dan agensi berkaitan akan mempercepat pembangunan rumah mampu milik di atas tanah wakaf,” menurut laporan itu.

Laporan turut memaklumkan peraturan berkaitan dasar pemisah untuk perumahan awam akan dikuatkuasakan dengan menyediakan garis panduan dan prosedur untuk penyewa yang melebihi kelayakan berpindah ke perumahan pilihan yang bersesuaian.

Menurut laporan itu, tempoh moratorium 10 tahun ke atas penjualan semula rumah akan diperluas kepada semua perumahan awam.

Selain itu, kajian menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti strategi dan inisiatif mengawal bekalan rumah mampu milik melalui pasaran sekunder, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, pembangunan pelan tindakan perumahan negara bagi mengenal pasti keperluan sebenar perumahan akan memudah cara penyediaan rumah bersesuaian.

Laporan turut memaklumkan program perumahan dilaksanakan kerajaan akan berpandukan konsep tempat tinggal sebagai keperluan asas dan hak asasi manusia, berbanding konsep pemilikan.

Peralihan ini untuk menyokong Anjakan Besar Perumahan untuk Rakyat dan dalam hubungan ini, sektor awam dan swasta akan memainkan peranan penting melalui penglibatan secara aktif untuk menyediakan perumahan yang selamat, terjamin, dan mampu bayar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.