Gagal sepakat, tuntutan harta RM2 bilion Jamaluddin terus dengan bicara

Gagal sepakat, tuntutan harta RM2 bilion Jamaluddin terus dengan bicara

Mahkamah Tinggi Syariah bersidang 9 Okt bagi menetapkan tarikh bicara tuntutan balu Jamaluddin Jarjis, empat anak dan ibu mentua.

Balu Allahyarham Jamaluddin Jarjis, Kalsom Ismail (kiri) hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi prosiding mengenai status perbincangan penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion difailkan beliau terhadap empat anak dan ibu mentuanya.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Jamaluddin Jarjis, Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya hari ini gagal diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla manakala ibu mentuanya, Aminah Abdullah adalah defendan pertama hingga kelima.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah berkata pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan kes diteruskan dengan perbicaraan dan 9 Okt ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh bicara,” katanya kepada pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid hari ini.

Pada prosiding hari ini, Kalsom diwakili Peguam Syarie Sulaiman Abdullah.

Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaluddin, yang juga bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, ahli perniagaan Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.