
Ketua Polis Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah, berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Perumahan JPN dekat Batu 11, pada 6 petang.
“Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang berada di dalam rumah tersebut. Pemeriksaan terhadap suspek telah menemukan 200 biji pil disyaki pil yaba dan 183g dadah disyaki syabu, dengan anggaran nilai sebanyak RM 38,600,” katanya dalam kenyataan.
Haki berkata, rampasan kedua dilakukan pada 6.45 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tanah Merah selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang sedang menunggang sebuah motosikal di tepi jalan Kampung Batu Gajah.
“Pemeriksaan lanjut oleh polis telah menemukan enam bungkusan berwarna kuning berisi pil kemerahan dan kehijauan, yang disyaki dadah pil yaba berjumlah 36,000 biji dengan anggaran berat 4.48kg dianggarkan bernilai RM360,000,” katanya.
Beliau berkata ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Kedua-dua suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga Sabtu (16 Sept) bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.