PN dakwa PM dahului speaker Dewan Rakyat tolak bahas DNAA Zahid

PN dakwa PM dahului speaker Dewan Rakyat tolak bahas DNAA Zahid

Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Anwar Ibrahim melampaui bidang kuasanya menunjukkan 'penyalahgunaan kuasa yang nyata'.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata wujud keperluan mendesak agar keputusan DNAA Zahid Hamidi dibahaskan dalam forum tertinggi negara.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi tidak boleh dibahas di Parlimen.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Anwar itu mendahului keputusan sepatutnya dibuat Speaker Dewan Johari Abdul yang menunjukkan “penyalahgunaan kuasa yang nyata”.

“Di sini jelas bahawa perdana menteri telah membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis dengan mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Speaker Dewan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jumaat lalu, Anwar berkata Dewan Rakyat bukan mahkamah untuk membahaskan keputusan dibuat oleh hakim, ketika mengulas desakan Pemuda PKR agar sidang tergempar Parlimen diadakan bagi membahaskan DNAA Zahid.

Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata wujud keperluan mendesak agar kes itu dibahaskan dalam forum tertinggi negara memgambil kira kritikan serta kesannya yang bukan hanya kepada institusi perundangan tetapi imej negara.

Katanya, alasan Anwar bahawa peguam negara bukan menteri atau Ahli Parlimen ketika menolak isu itu dibahaskan “tidak boleh diterima”.

Takiyuddin berkata, selama ini, segala isu perundangan yang dibangkitkan oleh Anwar dan partinya semasa menjadi pembangkang dahulu dijawab dan diberikan penerangan jelas dalam Parlimen, termasuk kes 1MDB.

“Keputusan pihak pendakwaan yang membawa kepada penghakiman DNAA tersebut perlu diteliti dan diperiksa oleh Parlimen kerana ia berkait rapat dengan soal integriti dan kebolehpercayaan terhadap bukan sahaja Jabatan Peguam Negara, malah PN membayangkan keberangkalian yang tinggi campur tangan pihak kerajaan sendiri dalam kes ini.

“Justeru PN menyeru dan mengharapkan agar Speaker Dewan Rakyat akan membuat petua yang dihormati (respected ruling) berkaitan perkara ini berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada secara adil saksama tanpa gentar dan memihak, serta tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.