PH rai kemenangan PRK, bukti politik perkauman terhad

PH rai kemenangan PRK, bukti politik perkauman terhad

Beberapa pemimpin PH menyifatkannya sebagai kemenangan bagi politik jalan tengah di negara ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Nazri Abdul Rahman yang memenangi kerusi DUN Simpang Jeram bagi PH. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan meraikan kejayaannya dalam PRK semalam dengan beberapa ahli gabungan itu memetik kemenangan itu sebagai bukti bahawa keberkesanan taktik perkauman digunakan Perikatan Nasional (PN) mempunyai had.

Di media sosial, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, yang masing-masing menang di Pulai dan Simpang Jeram, serta berterima kasih kepada pengundi yang keluar menyokong mereka.

“Keputusan ini ternyata suatu perkembangan yang positif bagi kerajaan perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan,” katanya dalam ciapannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong menyifatkannya kemenangan bersama PH dan sekutunya dalam kerajaan perpaduan, Barisan Nasional (BN)

“Ini juga merupakan kemenangan Bangsa Johor dan kejayaan politik jalan tengah!”

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan untuk Malaysia (jalan) tengah,” kerana ia dicapai walaupun PN cuba mempolitikkan perkauman untuk mendapatkan sokongan dalam kempen mereka, yang disokong oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun PN dan Tun Mahathir menyebarkan politik toksik, pengundi telah membuat keputusan muktamad,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghormatan terhadap rakannya dalam PH, Salahuddin Ayub, yang meninggal dunia pada Julai lepas, mencetuskan dua PRK itu.

“Pengundi menyerap semangat politik Salahuddin yang berbilang kaum, inklusif, sederhana. Malam ini, Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad dan Hadi Awang gagal,” kata Sim kepada FMT.

Selain itu, Sim turut memuat naik gambarnya bersama Salahuddin di media sosial dengan kapsyen: “Beliau tersenyum.”

Charles Santiago daripada DAP bersetuju bahawa taktik PN menggunakan sentimen perkauman terbukti tidak berkesan di Johor, walaupun ramai yang menganggapnya sebagai penyumbang kepada prestasi mantap gabungan itu pada PRU15 tahun lepas dan PRN negeri baru-baru ini.

“Semua kaum perlukan kestabilan. Sikap Mahathir yang suka menghasut ke arah kebencian menjengkelkan ramai orang, termasuk orang Melayu,” katanya, memetik perbualannya baru-baru ini dengan penduduk Simpang Jeram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.