
Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata mereka yang merancang hadir himpunan itu diseru memakai baju putih.
“Kempen ini pada peringkat awalnya akan diadakan pada Hari Malaysia 2023 (Sabtu ini) pada jam 2 petang.
“Kita akan himpunkan segenap anak muda yang sayangkan negara. Kita minta mereka datang memakai baju putih, menandakan tanda cintakan negara, membawa bendera Malaysia untuk kempen ini,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di Kuala Lumpur.
Hadir sama timbalannya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Fadhli berkata, dua isu difokuskan pada kempen itu, yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah DNAA Zahid dan badan kehakiman serta sistem perundangan negara yang didakwa kian meruncing.
“Isu ini membuka mata terhadap kegusaran rakyat berkenaan sistem keadilan negara dan ia dibahaskan secara terperinci oleh pihak berkepentingan seperti Bersih dan Majlis Peguam, malah parti dalam kerajaan hari ini minta penjelasan daripada peguam negara,” katanya.
Ditanya mengenai permit bagi perhimpunan Sabtu ini, Fadhli berkata, pihaknya akan memohon daripada pihak berkuasa dan melakukan semua yang perlu mengikut peruntukan undang-undang.
“Saya yakin kerajaan reformasi ini tiada alasan nak tolak, mereka pun lahir dari jalan raya, takkan mereka nak tolak kecuali sudah berubah,” katanya.
Ditanya mengenai penjelasan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan DNAA terhadap Zahid, Fadhli mendakwa, penjelasan itu menimbulkan lebih banyak persoalan.
Dalam pada itu, Wan Fayhsal berkata usul tergempar memanggil peguam negara untuk memberi penjelasan terhadap DNAA Zahid berkait 47 pertuduhan akan menjadi agenda pertama PN pada mesyuarat khas Dewan Rakyat, esok.
Beliau yang juga ketua Pemuda Bersatu berkata, setakat ini belum menerima jawapan rasmi daripada pejabat Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.