
Ketua Polis Terengganu, Mazli Mazlan, berkata operasi itu dijalankan secara bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas menerima aduan dan rungutan orang ramai terhadap tindakan segelintir penunggang motosikal yang bukan sahaja memandu secara melulu, malah mengganggu ketenteraman awam.
Beliau menegaskan, operasi itu tugas rutin dijalankan polis bagi memastikan keselamatan orang ramai dan bukan berunsur politik seperti didakwa sesetengah pihak.
“Selepas mendapat aduan, pihak kami menjalankan pemantauan dan memang benar terdapat pelanggaran undang-undang dalam kalangan peserta RXZ Members 5.0 yang menunggang secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain termasuk di kawasan lebuh raya dan jalan negeri.
“Bunyi ekzos yang diubah suai pula sangat kuat hingga mengganggu pesakit di hospital dan masyarakat yang tinggal berdekatan. Jadi ini memang tugas rutin polis…tak ada kena mengena dengan politik atau ada arahan sesiapa,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu.
Mazli berkata, polis sentiasa menyokong program atau aktiviti memberi impak positif kepada sosioekonomi penduduk selagi ia tidak melanggar undang-undang.
Katanya polis juga tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan orang awam dan segala tindakan diambil terhadap peserta program RXZ Members 5.0 adalah mengikut lunas undang-undang.
“Tiada isu dengan penganjur kerana mereka dah mohon permit daripada polis, cuma segelintir pemilik motosikal yang mengambil kesempatan di sebalik program itu untuk lakukan kesalahan,” katanya.
Sejak semalam warganet meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial selepas ada peserta program yang berlangsung di Gong Badak, Kuala Nerus, dengan menghimpunkan pemilik motosikal RXZ termasuk dari Sabah dan Sarawak, ditahan polis dan JPJ dalam op berkenaan selain ada motosikal mereka disita.
Sebahagian hantaran mengaitkan tindakan pihak berkuasa itu sebagai arahan daripada “pihak atasan” memandangkan acara itu diadakan di negeri pembangkang.
Dalam pada itu, Mazli berkata 185 motosikal ditahan dan 292 saman dikeluarkan sepanjang dua hari operasi dijalankan di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Beliau berkata antara kesalahan direkodkan tiada cermin sisi, tiada lesen memandu, pengubahsuaian ekzos kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Sepanjang dua hari operasi, 73 kes kemalangan turut dilaporkan dengan empat daripadanya adalah kemalangan maut melibatkan peserta program RXZ Members 5.0,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata 134 kesalahan direkodkan sepanjang dua hari operasi dengan beberapa kesalahan ekstrem dikesan seperti mengubah suai paip ekzos motosikal hingga menjadikan bunyi terlalu bising dan menggunakan nombor pendaftaran terlalu kecil.
“Daripada 40,000 peserta program RXZ Members 5.0, hanya 1.34% dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan. Jadi, tiada istilah ‘pukat-memukat’ seperti didakwa kerana tindakan diambil untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain dan orang ramai,” katanya pada sidang media berasingan.