
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mendahului di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masing-masing dengan majoriti 12,668 undi dan 3,302 undi setakat 8.10 malam.
Menurut keputusan tidak rasmi dikongsikan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, calon PH di Parlimen Pulai Suhaizan Kayat memperoleh 36,703 undi meninggalkan pencabarnya Zulkifli Jaafar (PN) yang mengutip 24,035 undi sementara calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi (408 undi).
Di DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman (PH) mendahului dengan 10,528 undi berbanding calon PN Dr Mohd Mazri Yahya (7,226 undi) dan calon bebas S Jeganathan (243 undi).
PRK kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah pada 23 Julai lalu.