Polis terima 140 laporan berkait PRK

Polis terima 140 laporan berkait PRK

Laporan paling banyak adalah tindakan pihak tertentu menurunkan poster atau sepanduk serta merosakkan papan iklan dan bendera.

Polis berkata perjalanan proses pengundian hari ini berjalan lancar di semua pusat mengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
JOHOR BAHRU:
Polis menerima 140 laporan berkaitan pelbagai kesalahan berhubung proses PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, dalam tempoh 26 Ogos lalu hingga tengah malam semalam.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata laporan paling banyak diterima adalah berhubung tindakan pihak tertentu menurunkan poster atau sepanduk, serta merosakkan papan iklan dan bendera.

“Bagaimanapun Alhamdulillah, perjalanan proses pengundian hari ini berjalan lancar di semua pusat mengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, merujuk kepada insiden dua pengamal media di Johor didakwa dikasari pegawai pengiring seorang menteri Selasa lalu, Kamarul berkata siasatan dalaman dilakukan dan percakapan saksi dirakam.

“Siasatan dalaman dijalankan, kita sudah panggil seorang saksi dan rakam percakapan. Kini terpulang, kalau nak buat laporan polis, boleh buat, kita akan teruskan siasatan, jadi kalau rasa perlu buat (laporan) boleh buat,” katanya.

Dalam insiden itu, dua wartawan wanita mendakwa dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen PRK Parlimen Pulai di Taman Anggerik dan Taman Dahlia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.