
Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata menjadi tugas seorang peguam negara untuk mempertimbangkan setiap alasan dan perincian yang diberikan oleh pihak tertuduh.
Pihaknya juga dikehendaki, atas prinsip keadilan, untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan berkenaan setiap butiran yang dikemukakan oleh tertuduh.
Jelasnya, pihak Zahid mengemukakan representasi-representasi yang terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih daripada 200 muka surat, tidak termasuk dokumen sokongan yang dilampirkan.
“Oleh itu, sudah tentu peguam negara dan jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen yang disertakan dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat,” kata Terrirudin.
“Perlu diingatkan bahawa tugasan jabatan ini bukanlah untuk memastikan mana-mana tertuduh disabitkan melalui apa cara sekalipun.”
Terrirudin menjawab kenyataan Majlis Peguam yang dilapor berkata keputusan AGC memohon DNAA pada “saat yang begitu lewat” telah mencemarkan reputasi dan kredibilitinya sendiri sebagai pihak pendakwa.
Beliau berkata walaupun Perkara 145(3) Perlembagaan membolehkan peguam negara memberhentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan, AGC mengemukakan 11 alasan kepada mahkamah sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar tempatan.
“Penting untuk dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan itu dihentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.
“Keputusan peguam negara untuk menggunakan budi bicara beliau di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan tidak sama sekali dibuat tanpa sebarang asas.”