MMA perjelas cadangan pembaharuan bagi prosedur berisiko tinggi

MMA perjelas cadangan pembaharuan bagi prosedur berisiko tinggi

Pembaharuan itu bagi memastikan hak pesakit dilindungi tanpa melepaskan doktor dan hospital daripada tanggungjawab, kata Dr R Muruga Raj.

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, ‘komplikasi’ dalam prosedur perubatan tidak patut dikelirukan dengan ‘kecuaian’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) baru-baru ini menyeru agar pembaharuan dilaksanakan dalam pengendalian prosedur perubatan melibatkan pesakit berisiko tinggi, selepas dua kes saman berprofil tinggi difailkan terhadap hospital kerajaan.

Dalam satu kes, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi lumpuh selepas proses kelahiran secara pembedahan, manakala dalam satu kes lain, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengalami kerosakan otak, juga semasa proses kelahiran. Kerajaan diarah membayar pampasan sebanyak RM13 juta.

FMT mendapatkan ulasan Presiden MMA Dr R Muruga Raj mengenai cadangan pembaharuan bagi prosedur perubatan berisiko tinggi ini.

Prosedur sedia ada

Menurut Muruga, amalan semasa adalah untuk risiko dan potensi komplikasi pembedahan dijelaskan secara terperinci kepada pesakit sebelum sebarang prosedur dijalankan. Pesakit dibenarkan mendapatkan penjelasan mengenai sebarang perkara berkaitan sebelum memberikan persetujuan. Bagi kanak-kanak, persetujuan diperoleh daripada ibu bapa.

Muruga berkata, prosedur berisiko rendah hingga sederhana mungkin menjadi berisiko tinggi jika komplikasi timbul.

Komplikasi dan kecuaian

Bagaimanapun, katanya, “komplikasi” tidak patut dikelirukan dengan “kecuaian”.

Menjelaskan perbezaannya, beliau berkata, “komplikasi” ialah peristiwa yang timbul disebabkan penyakit, keadaan kesihatan, atau rawatan, yang menyebabkan keadaan tidak diingini berlaku.

Katanya, apabila komplikasi timbul, keadaan mungkin tidak membenarkan pesakit kembali menjadi normal, terutamanya jika melibatkan kecederaan neurologi atau kerosakan kepada organ lain.

Kecuaian perubatan pula melibatkan ketidakpatuhan kepada standard penjagaan perubatan kompeten sedia ada.

Cadangan pembaharuan

MMA mendesak pembaharuan yang melibatkan pengantaraan wajib. Proses ini bertujuan menangani kebimbangan yang berpatutan bagi semua pihak sambil menyediakan penyelesaian bagi doktor dan pesakit dalam jangka masa yang munasabah.

Muruga berkata, proses seperti ini penting kerana kes-kes yang dibawa ke mahkamah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Kos penjagaan dalam tempoh ini juga boleh menjadi tinggi, tambahnya.

MMA turut mencadangkan pampasan tanpa kesalahan sebagai alternatif litigasi.

“Bawah (skim) pampasan tanpa kesalahan ini, peguam kedua-dua pihak (pesakit dan doktor/hospital) bersepakat tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kecederaan dialami atau mengaitkannya dengan sebab tertentu.

“Bagaimanapun, kecederaan itu perlu diuruskan, dan jika kedua-dua pihak mempersetujui proses pengantaraan, pampasan yang adil boleh diusahakan oleh kedua-dua pihak,” kata Muruga.

Beliau berkata, proses ini akan mengelakkan proses mahkamah panjang yang mungkin tidak menjamin keputusan yang baik bagi pesakit.

Katanya, apabila pampasan dipersetujui oleh semua pihak, syarikat insurans doktor atau hospital – bergantung pada siapa yang bertanggungjawab – akan membayar pampasan kepada pesakit.

Jika pihak insurans tidak bersetuju membayar pampasan, pertikaian akan diselesaikan mengikut proses mahkamah.

Muruga berkata, cadangan pembaharuan ini ini tidak melepaskan doktor atau organisasi daripada sebarang tanggungjawab, kerana terdapat undang-undang dan mekanisma sedia ada untuk memastikan hak pesakit dilindungi dan memastikan penyedia penjagaan kesihatan dipertanggungjawabkan mengikut standard tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.