Menteri nafi 5 hadis dikeluar daripada modul

Menteri nafi 5 hadis dikeluar daripada modul

Fadhlina Sidek meminta semua pihak memberi ruang kepada kementeriannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia perhalusi isu itu.

Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan dalam proses memuktamadkan lima hadis itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan kementeriannya sudah mengeluarkan lima hadis daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Ini kerana katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses memuktamadkan hadis itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak.

“Saya fikir perlu beri ruang kepada kita dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk perhalusi isu ini agar ia berjaya dilaksanakan untuk anak-anak Muslim dan sekolah agama,” katanya selepas sesi Town Hall Sinar Harian bersama Menteri Pendidikan di Shah Alam.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM sudah mengeluarkan lima hadis itu.

Mengenai kemungkinan ada di antara hadis itu digugurkan, Fadhlina mengulangi mereka sedang memuktamadkannya.

Modul penghayatan hadis itu dilancarkan Ogos lalu bagi memupuk nilai sabda atau hadis Rasulullah di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.