
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semasa proses dokumentasi, katanya, lelaki itu mengadu sakit dan polis segera menghubungi hospital.
“Pegawai perubatan dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani hadir dan mengesahkan kematiannya. Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Punca kematian belum dapat disahkan. Sementara menunggu keputusan makmal, kematian diklasifikasikan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil ujian Covid-19 ke atas lelaki itu negatif.
Katanya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.