
Tidak terhenti pada PRU15, fenomena itu merebak ke Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan; selain Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada PRN lalu.
Susulan kejayaan PN menembusi kubu kuat Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor, timbul persoalan adakah ‘Gelombang Hijau’ mampu membadai Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang akan berpilihan raya esok.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, memberi amaran PH-Barisan Nasional tidak boleh begitu selesa memandangkan PN dapat mengekalkan momentum ‘Gelombang Hijau’ pada PRN lalu.
“Kalau ikut templat semasa nampak mungkin PH-BN boleh mempertahankan lah, tetapi dari sudut potensi mungkin Pulai itu PH boleh menang tetapi PN mungkin akan boleh memberikan cabaran ataupun lebih hebat dengan merampas Simpang Jeram,” katanya.
Menjelang hari pengundian esok, timbul spekulasi apakah pengundi atas pagar malah penyokong Pakatan Harapan akan beralih arah selepas mahkamah melepaskan Presiden Umno Zahid Hamidi tanpa membebaskan beliau daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang berkait yayasan yang diasaskannya.
“Bila dah jadi macam ini mereka juga mungkin akan berubah ke PN. Itu juga mungkin berlaku,” tambah Mujibu.
Sebarang sokongan daripada penyokong BN akan amat membantu PH mengekang ‘Gelombang Hijau’, namun prestasi BN pun pada PRN lalu tidak memberangsangkan di sebalik desas-desus tunjuk perasaan dalam kalangan akar umbi Umno.
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin akui PH-BN sedang “bekerja sedaya upaya” memastikan kemenangan di Simpang Jeram.
“Kita bersedialah kali ini untuk menjelaskan kepada pengundi terutamanya pengundi BN segala kekeliruan atau pun kekecewaan yang selama ini mungkin mereka lalui,” katanya.
Pengundi mahu YB boleh bekerja
Di sebalik haru-biru ini, BN dan PH nampaknya akan terpaksa berharap pada rekod prestasi kerajaan Johor untuk meyakinkan pengundi menyokong mereka.
Dalam kalangan rakyat di Pulai dan Simpang Jeram, mereka yang ditemui hanya inginkan Yang Berhormat yang boleh bekerja tidak kira apa warna gelombang yang melanda.
“Kita tak nak yang tahu cakap sahaja. biar cakap, buat. Macam menteri besar Johor, saya bukan nak puji dia sangat tapi saya tengok dia sekarang memang bagus,” kata seorang peniaga, Hamiza Harun yang akan mengundi di Pulai.
“Saya harap dia boleh turun padang. Nampak lah buat kerja. Kalau untuk negara, tiada masalah,” kata seorang pengundi, Mohamad Fadil.
Ngoo Coon Lai, yang mengundi di Pulai, mahu Yang Berhormat untuk semua kaum. “Kalau mereka dapat bagi manfaat baik pada semua kaum, Cina, India dan Melayu kita pun sama-sama sokong.”