Pesara kerajaan bimbang terima pencen lebih rendah tahun depan

Pesara kerajaan bimbang terima pencen lebih rendah tahun depan

Mereka meminta jaminan perdana menteri pembayaran insentif khas akan diteruskan pada 2024 sementara menunggu semakan.

Pesara kerajaan akan terjejas teruk sekiranya pembayaran insentif khas tidak diteruskan selepas Disember tahun ini, kata bekas presiden Cuepacs, Azih Muda.
PETALING JAYA:
Pesara kerajaan bimbang bayaran pencen diterima kembali ke paras sebelum 2013 mulai Januari depan selepas mahkamah mengisytiharkan kenaikan tahunan sebanyak 2% diterima sejak 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 28 Jun, kerajaan mengumumkan pembayaran pencen ketika ini termasuk kenaikan diterima sejak 10 tahun lalu akan terus dibayar hingga akhir tahun ini dalam bentuk pembayaran insentif khas kepada pesara.

Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) mengatakan notis mengenai perkara itu dipaparkan di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden Pejasma, Azih Muda, menghargai usaha kerajaan kerana terus membayar jumlah pencen sedia ada walaupun mahkamah mengisytiharkan pindaan pada Akta Pencen 1980 yang memperkenalkan kenaikan tersebut sebagai tidak berperlembagaan.

“Kita bertuah kerana peruntukan itu (kenaikan tahunan) dimasukkan dalam belanjawan tahun ini. Oleh itu, untuk pesara terus mendapatkan jumlah pencen yang sama, ia harus dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang kini sedang disediakan.

“Jika tidak, kita akan menghadapi masalah besar kerana perbezaannya berjumlah ratusan ringgit,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, semakan gaji penjawat awam mungkin mengambil masa lebih daripada setahun untuk diselesaikan, dan pesara akan terjejas jika pembayaran insentif khas tidak diteruskan semasa proses itu berlangsung.

Sebagai contoh, bekas presiden Cuepacs itu berkata, seorang pesara menerima pencen bulanan RM1,413 pada Disember 2012 akan mendapat RM1,757 sebulan ketika ini mengambil kira kenaikan tahunan 2%.

“Jadi, perbezaan adalah RM344, yang kini diklasifikasikan sebagai pembayaran insentif khas. Bolehkah anda bayangkan pesara, terutamanya kira-kira 60% dalam kategori B40, mendapat jumlah yang jauh lebih rendah secara mengejut?” katanya.

Azih menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan jaminan kerajaan akan terus dengan pembayaran khas sehingga skim gaji baharu bagi penjawat awam dan pencen diselaraskan.

Pada 27 Jun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah bawahan yang mengisytiharkan pindaan pada Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebagai tidak sah. Pindaan itu memperkenalkan skim baru yang menaikan pembayaran pencen kepada penjawat awam pada kadar tetap sebanyak 2% setahun.

Bagaimanapun, kerajaan berkata pesara tidak perlu membayar semula kenaikan tahunan diterima mereka.

FMT telah menghubungi JPA bagi ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.