
Menteri Besar Nassuruddin Daud ketika mengumumkan perkara itu berkata bantuan khas itu turut diberikan kepada pegawai lantikan politik termasuk ahli majlis, penyelaras DUN, serta guru-guru agama.
“Kerajaan negeri bersetuju mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan penjawat awam dan pesara kerajaan negeri Kelantan bagi 2023 sebanyak RM300.
“Penghargaan ini juga turut diterima pegawai lantikan politik termasuk ahli majlis, guru-guru, penyelaras DUN, guru pondok, guru al-quran, guru fardhu ain,” katanya dalam majlis amanat menteri besar Kelantan di Kota Bharu.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila bayaran itu akan dibuat.
Dalam majlis itu, Nassuruddin turut mengumumkan tujuh komitmen kerajaan negeri dalam tempoh 100 hari pentadbiran antaranya mewujudkan pasukan petugas khas air Kelantan ke arah penjenamaan semula Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Adun Meranti itu berkata ia termasuk melantik ahli lembaga pengarah yang pakar dalam industri bekalan air, serta memperkasa sistem korporat, penyampaian maklumat dan aduan AKSB.
Selain itu, beliau berkata Invest Kelantan akan diberi peranan lebih besar sebagai pusat sehenti bagi memberi khidmat nasihat pelaburan, mempromosi dan memudahcara pelaburan di Kelantan.
“Gandingan Invest Kelantan dan Pesuruhjaya Tanah Kelantan pastinya membawa kesan positif bagi iklim pelaburan di Kelantan,” katanya.