Dakwaan kesalahan pilihan raya, Bersih lapor polis terhadap Zahid

Dakwaan kesalahan pilihan raya, Bersih lapor polis terhadap Zahid

Badan pemantau pilihan raya itu mendakwa timbalan perdana menteri melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya dalam ucapannya kepada pengundi Pulai 3 Sept lalu.

Bersih berkata ucapan Zahid Hamidi perlu disiasat atas ‘pengaruh tidak wajar’ dan ‘sogokan’ mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bersih membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi kerana membuat ucapan yang mungkin “mempengaruhi” pengundi Pulai “secara tidak wajar” untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRK Sabtu ini.

Badan pemantau pilihan raya itu mendakwa Zahid menyatakan penambahbaikan PPR Melana Indah di Johor akan diteliti dan diluluskan dengan syarat calon PH, Suhaizan Kayat perlu memenangi PRK Pulai.

Bersih dalam kenyataan berkata, kenyataan itu perlu disiasat kerana didakwa melanggar Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar) dan Seksyen 10 (sogokan) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Katanya, ucapan Zahid pada 3 Sept juga bercanggah prinsip 3C (tanpa syarat, tanpa kempen, tanpa calon) yang digariskan Julai lalu untuk mengelakkan penyalahgunaan kelebihan jawatan.

“Apa-apa pengumuman atau pertimbangan kerajaan yang diucapkan dalam majlis-majlis kerajaan bukan sementara – dalam kes PRK Pulai dan Simpang Jeram ini adalah kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor – tidak boleh dibuat secara bersyarat, dihadiri calon dan berkempen seperti yang dilakukan Zahid dan PH.”

Bersih menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim segera “mengawal perlakuan anggota Kabinetnya” dengan mengeluarkan garis panduan pilihan raya supaya sumber dan jentera kerajaan tidak disalahgunakan.

Pengerusi Bersih Thomas Fann sebelum ini mengkritik tawaran bantuan Zahid kepada belia di Terengganu menjelang PRK pada 12 Ogos lalu.

Katanya, tawaran Zahid melanggar dua daripada 3C, dengan menyertakan syarat untuk bantuan dan memberi peruntukan kepada belia Terengganu saja, bukannya semua belia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.