Bekas ketua polis daerah Temerloh didakwa terima rasuah

Bekas ketua polis daerah Temerloh didakwa terima rasuah

Bagaimanapun, Mohd Azhar Mohd Yusoff mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM70,600 selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan.

Mohd Azhar Mohd Yusoff didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan kerana menerima suapan antara RM100 sehingga RM5,600 daripada empat pihak berbeza. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua polis Temerloh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 46 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,600 antara 2019 hingga 2022.

Menurut Sinar Harian, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Azhar didakwa melakukan perbuatan itu antara 7 Mac 2019 hingga 22 September 2022 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh sebagai pegawai kanan polis IPD Temerloh.

Tertuduh yang kini bertugas di IPK Pahang didakwa menerima suapan antara RM100 sehingga RM5,600 daripada empat pihak berbeza sebagai dorongan melindungi mereka daripada dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Azhar juga didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili Bob S Arumugam dan Najib Zakaria.

Zamzani menetapkan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan 15 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.