Apa faedah jadi tempat pembangkang, Ahmad Maslan jawab protes

Apa faedah jadi tempat pembangkang, Ahmad Maslan jawab protes

Ahmad Maslan menyeru penyokong Umno memikirkan faedah menjadikan kawasan mereka tempat pembangkang kerana ingin menunjuk perasaan.

Ahmad Maslan yakin penyokong Umno yang menunjuk perasaan dengan mengundi lawan tidak ramai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahmad Maslan menyeru penyokong Umno merenung kesan menyerahkan DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai kepada pembangkang, di sebalik ura-ura mengenai protes dalam kalangan mereka.

Ahli majlis kerja tertinggi Umno itu menggesa penyokong parti memikirkan faedah menjadikan kawasan mereka tempat pembangkang kerana ingin menunjuk perasaan, dalam tempoh jangka masa panjang.

“Kalau mereka protes, nanti tempat ini menjadi pembangkang, apa faedah untuk lima tahun akan datang?” katanya ketika ditanya mengenai risiko protes menjelang hari mengundi Sabtu ini, pada sidang media bersama calon Pakatan Harapan (PH) Nazri Abdul Rahman di Taman Pertama Indah, Muar.

Ahmad yang juga timbalan ketua Umno Johor yakin bilangan penyokong yang dijangka menunjuk perasaan tidak ramai.

“Saya tidak nafi ada sebahagian tapi mereka segelintir sahaja. Saya banyak kali pergi Simpang Jeram dan Pulai, maka saya tahu apa yang ada mahupun cerita-cerita di dalam kawasan,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menjangkakan protes dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan, berkait keadaan ekonomi semasa dan penyokong menolak kerjasama Barisan Nasional-PH.

Jangkaan ini di sebalik dakwaan bahawa kerajaan perpaduan berdepan ketidakpuasan hati komuniti India, yang menyebabkan tidak ramai pengundi mereka keluar mengundi pada PRN 12 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.