
Hafizuddeain, 55, turut dinaikkan pangkat sebagai jeneral daripada leftenan jeneral; dan mengambil alih jawatan nombor satu tentera darat itu daripada Jen Mohammad Ab Rahman.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas disempurnakan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan.
Mohamad dalam ucapannya menzahirkan kepercayaan Hafizuddeain akan membawa tentera darat ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya amat yakin, perubahan pucuk pimpinan ini tidak akan sekali-kali menjejaskan keteguhan, serta fokus segenap lapisan tentera darat, dalam menunaikan tanggungjawab, bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara,” katanya.
Hafizuddeain, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai timbalan panglima pada 23 Mac tahun ini.
Mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, Hafizuddeain memulakan khidmat pada 19 Ogos 1986 sebagai pegawai kadet sebelum ditauliahkan sebagai leftenan muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dua tahun kemudian.
Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah pegawai memerintah di Batalion Keempat RAMD (2003-2005), panglima Briged Kelima Infantri (2018-2020), dan panglima Medan Barat Tentera Darat (2021-2023).
Bapa kepada tiga cahaya mata ini juga pernah dilantik sebagai ketua staf di Markas Briged Kelapan Infantri (2009-2010), ketua penolong setiausaha di Bahagian Dasar Kementah (2014-2016), dan ketua staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri (2016-2017).
Sepanjang perkhidmatan, beliau menghadiri pelbagai kursus antaranya diploma sains pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, sarjana sains sosial (pengajian pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, sarjana pengurusan di Filipina, dan kursus pegawai infantri peringkat tinggi di Amerika Syarikat dan Kolej Pengajian Pertahanan Diraja di United Kingdom.