Bising punca sambutan hari jadi bertukar pergaduhan

Bising punca sambutan hari jadi bertukar pergaduhan

Polis berkata, kejadian 1 pagi itu turut menyebabkan beberapa pelanggan restoran cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Keadaan di sebuah restoran di Bandar Baru Klang, Selangor selepas dua kumpulan bergaduh.
PETALING JAYA:
Membuat bising dipercayai punca sambutan hari jadi bertukar menjadi pergaduhan dua kumpulan di sebuah restoran di Bandar Baru Klang, Selangor semalam.

Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao berkata kejadian 1 pagi itu turut menyebabkan beberapa pelanggan restoran cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Katanya, hasil siasatan menunjukkan pergaduhan berlaku selepas enam individu yang sedang menyambut hari jadi seorang rakan mereka membuat bising di restoran itu.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati, suasana tegang dan cabar-mencabar satu sama lain sebelum suspek memanggil kira-kira 20 rakannya.

Katanya, pergaduhan menyusul dan suspek turut menyerang pelanggan lain dalam restoran itu.

“Beberapa suspek terlibat dalam pergaduhan ini telah dikenal pasti polis, dengan ada di antaranya pernah ditangkap sebelum ini,” katanya menurut Sinar Harian.

Vijaya rao berkata, usaha mencari bukti dan semakan rakaman kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada IPD Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.