
Beliau mendakwa permohonan pihak pendakwaan yang membawa kepada DNAA itu tidak munasabah kerana sebelum ini ia berjaya membuktikan kes prima facie dan Zahid diarah membela diri.
“Sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan tidak campur tangan proses perundangan dalam keputusan mahkamah, dan menyerahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menilai tindakan seterusnya.