
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata butiran pengambilan pekerja asing dalam tiga sektor yang dibekukan sebelum ini akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.
“Kalau ada perkara lebih terperinci, berkemungkinan nanti saya akan umumkan selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini,” katanya selepas melancarkan National Training Index (NTI).
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu yang dibekukan sebelum ini.
Bagaimanapun, Anwar meletakkan syarat supaya belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor itu.
Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata beberapa agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, termasuk institusi latihan perindustrian kini menukar program automotif kepada latihan berasaskan kenderaan elektrik (EV).
Beliau berkata, ia susulan permintaan tinggi terhadap EV bukan hanya di negara ini, malah seluruh dunia yang akan memberikan impak kepada industri automotif di Malaysia.
“Kita perlu bersedia dan memastikan mereka (mekanik) yang terlatih ada ‘upskilling; mengikut peredaran terkini. Program automotif menggunakan ‘Internal Combustion Engine’, iaitu enjin pembakaran dalam, kini ditukar dengan EV dari segi latihan.”
Beliau mengulas laporan media menyatakan permintaan tinggi terhadap EV akan menjejaskan mekanik jika mereka tidak berubah mengikut arus teknologi.