Zahid syukur lepas tanpa bebas kes Yayasan Akalbudi

Zahid syukur lepas tanpa bebas kes Yayasan Akalbudi

Timbalan Perdana Menteri itu berkata mahkamah tidak dapat membebaskannya lagi kerana RCI membabitkan Tommy Thomas belum dimuktamadkan.

Zahidi Hamidi sebelum ini diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas kesemua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Zahid sebelum ini diarah membela diri atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 berhubung pengubahan wang haram.

Dia dituduh melakukan pengubahan wang membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri itu memaklumkan mahkamah tidak membebaskannya kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan dalam buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” belum dimuktamadkan.

“Keduanya, pengemukakan representasi belum dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Zahid turut mengucapkan terima kasih atas khidmat peguamnya yang menjalankan tugas dengan cekap dan profesional.

“Saya terhutang budi dan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi Umno, ulama, guru saya, rakan saya yang diketahui dan tidak diketahui doa mereka,” katanya.

Katanya, beliau bersama kepimpinan Barisan Nasional dan Umno akan meneruskan perjuangan supaya “tuduhan bermotifkan politik dapat dihentikan”.

Pada prosiding itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengisytiharkan bahawa Zahid dilepaskan daripada semua tuduhan tetapi tidak dibebaskan.

Ini bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon Zahid dilepas tanpa dibebaskan, namun peguam mewakili Zahid, Hisyam Teh Poh Teik meminta mahkamah untuk membebaskan presiden Umno itu sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.