
Setiausaha Politiknya Syahir Sulaiman berkata polis telah dimaklumkan bahawa Hadi perlu melalui prosedur rawatan antibiotik yang di luar jadual asalnya dan dijangka memakan masa sehingga 4 jam sebelum mereka boleh bertolak ke Kuala Lumpur.
“Kalau tok guru (Hadi) tiada rawatan pada pagi tersebut, perkara ini telah selesai pada 4 petang Sabtu tetapi kerana selesai di hospital sekitar 12 tengah hari baru bertolak ke KL…jadi tok guru terlepas janji temu dengan polis yang telah saya hubungi sekitar 8 pagi.
“Polis pun setuju tarikh baharu iaitu hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS.
Beliau mengulas kritikan Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin yang mempersoalkan sama ada Hadi benar-benar uzur selepas muncul laporan presiden PAS itu bertemu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kenyataan itu dibuat susulan pemakluman polis bahawa proses keterangan Hadi ditangguhkan selepas dimaklumkan beliau masih uzur dan meminta proses mengambil keterangan berhubung ucapannya dalam kempen PRK di Simpang Jeram, Johor ditangguhkan.
Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata pertemuan dengan Mahathir serta menteri besar empat negeri minggu lalu juga berada dalam pengetahuan polis kerana telah disusun lebih awal.
“Telah tersebar gambar dengan Tun M dan selepas itu ada mesyuarat dengan menteri besar empat negeri mengikut jadual asal.
“Tok guru sihat dan polis pun dalam makluman mengenai kesihatan tok guru dan perjalanan pada minggu lepas,” katanya.
Sementara itu, pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman selesai merakam keterangan Hadi di Ibu Pejabat PAS pada 1 tengah hari tadi.
Hadi disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.