9 tahun tak dibayar gaji, bekas pembantu rumah saman majikan

9 tahun tak dibayar gaji, bekas pembantu rumah saman majikan

Warga Indonesia itu menuntut gaji tertunggak sebagai pembantu rumah dan sebagai pekerja kedai aksesori berjumlah RM195,646.33.

Bekas pembantu rumah warga Indonesia memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap majikannya yang didakwa tidak membayar gaji selama sembilan tahun.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pembantu rumah Indonesia membuat tuntutan sivil terhadap bekas majikannya yang didakwa tidak membayar gaji selama sembilan tahun berjumlah RM195,646.33.

Plaintif, Derfi Bisilisin, 36, memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap Koe Boon Aik, 48, selaku defendan, lapor Berita Harian.

Dia memfailkan dua tuntutan berasingan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM92,275.36 dan sebagai pekerja kedai aksesori berjumlah RM103,370.97.

Dalam tuntutannya itu, Derfi ketika memberi keterangan sebagai saksi utama pada perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli berkata, dia diambil bekerja sebagai pembantu rumah sejak 2011 oleh majikannya melalui ejen pekerjaan.

Katanya, dia ditawarkan gaji awal sebanyak RM600 sebulan dan kenaikan gaji RM50 setahun dan sehinggalah akhir perkhidmatannya sebanyak RM1,100 sebulan.

Sepanjang tempohnya bekerja, dia mendakwa tidak diberi tempat tidur selesa, malah hanya diberi makan sekali sehari serta diperlakukan secara kasar termasuk dimarahi dan ditampar majikan.

Oleh itu, dia menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM50,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Defri diwakili peguam Alias Ibrahim, Md Faiez Md Suhaimi dan Ahmad Mustaqim Zaki, manakala defendan diwakili peguam, Tara Singh Delip Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.