Peruntukan sama rata: Adun tunggal pembangkang Perlis puas hati

Peruntukan sama rata: Adun tunggal pembangkang Perlis puas hati

Adun Indera Kayangan Gan Ay Ling secara peribadi bersetuju peruntukan diberi kepada semua wakil rakyat secara adil.

Gan Ay Ling berkata beliau sering diundang dan dilibatkan dengan perbincangan bersama kerajaan negeri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu-satunya Adun pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) di Perlis berpuas hati dengan layanan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli kepada beliau.

Adun Indera Kayangan Gan Ay Ling berkata beliau mendapat peruntukan sama rata seperti wakil rakyat lain, sejak Mac lalu.

“Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Saya tiada masalah dengan kerajaan negeri sebab fokus kita sama-sama kerja untuk rakyat,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Gan berkata beliau faham sekiranya Adun pemerintah mempunyai kelebihan tertentu. “Bagi saya ia perkara biasa dan tiada masalah.”

“Mungkin ada sedikit peruntukan khas untuk program istimewa… mungkin ada sedikit yang saya tidak dapat tetapi tidak pasti. Namun saya faham kerana Adun kerajaan ada kelebihan tertentu contohnya ketika musim perayaan.”

Selain peruntukan, Gan berkata beliau juga sering diundang dan dilibatkan dengan perbincangan bersama kerajaan negeri, termasuk bagi belanjawan Perlis 2024.

“Ia juga demi kebaikan negeri serta rakyat bersama,” katanya yang merupakan mewakili rakyat Indera Kayangan sejak 2018.

Sementara itu, Gan secara peribadi bersetuju peruntukan diberi kepada semua wakil rakyat secara adil.

“Jika tidak dapat memberikan peruntukan sama rata, sekurang-kurangnya jumlah itu tidaklah terlalu jauh beza dengan Adun kerajaan. Ia sudah memadai,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis dan Shukri memberi jaminan akan berlaku adil kepada Adun pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.