
Kedua-dua suspek utama, berusia dalam lingkungan 30-an, diberkas kira-kira 4.30 petang pada hari kejadian, menurut Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo.
Dilaporkan dalam kejadian pada 8.30 pagi itu, perselisihan faham tercetus setelah suspek mencuri satu karton air minuman daripada kedai runcit terbabit.
Bagaimanapun, apabila tidak berpuas hati akibat dimarahi, suspek memanggil rakan-rakannya seramai enam orang untuk menyerang mangsa.
“Enam orang rakan suspek yang bersenjatakan parang, batang besi dan kayu panjang datang menyerang menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” kata Sik, lapor Berita Harian.
Tambahnya, suspek turut merosakkan barangan di kedai runcit tersebut.
Bersama suspek, senjata yang dipercayai digunakan semasa kejadian, iaitu golok, buku lima dan batang cota kayu, turut dirampas.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Benzo dan Methamphetamine,” kata Sik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis masih sedang mengesan rakan-rakan suspek yang terlibat dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat.