JPN hubungi gadis tanpa kad pengenalan tular di media sosial

JPN hubungi gadis tanpa kad pengenalan tular di media sosial

Kisah Melisa yang mengalami kesukaran hidup kerana tidak mempunyai kad pengenalan mendapat perhatian warganet.

JPN memaklumkan penelitian sewajarnya sedang dibuat berhubung kes Melisa yang dilaporkan tidak mempunyai kad pengenalan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menghubungi seorang wanita yang dikenali sebagai Melisa, 21, yang dilaporkan tidak mempunyai kad pengenalan, bagi mendapatkan fakta sebenar berhubung permohonan kewarganegaraannya.

JPN dalam kenyataan memaklumkan penelitian sewajarnya terhadap perkara itu sedang dibuat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di media sosial hari ini kisah Melisa yang mengalami kesukaran hidup kerana tidak mempunyai kad pengenalan dan perkara itu mendapat perhatian warganet.

“JPN ingin memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

“Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.”

JPN turut menasihati orang ramai yang mempunyai masalah, bukan sahaja mengenai kewarganegaraan, malah pelbagai isu lain seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain, untuk hadir ke 212 pejabat JPN di seluruh negara untuk mendapatkan bantuan.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah kerana setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian yang berbeza,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.