Identiti 6 sekeluarga maut nahas di Segamat dikenal pasti

Identiti 6 sekeluarga maut nahas di Segamat dikenal pasti

Kemalangan semalam membabitkan sebuah lori pasir, serta sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza dan Perodua Bezza.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan 5 kenderaan di Segamat semalam yang mengorbankan enam sekeluarga. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Identiti enam sekeluarga yang terkorban dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM5, Jalan Segamat-Kuantan petang semalam telah disahkan, menurut polis.

Mangsa yang maut terdiri daripada pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46, dan isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43, serta anak-anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Seorang lagi anak mangsa, Abdullah, 15, dan seorang pemandu lori dirawat di Hospital Segamat akibat kecederaan parah di dada dan badan, lapor Sinar Harian.

Kemalangan yang berlaku pada kira-kira 6.37 petang itu dilapor membabitkan sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza dan Perodua Bezza, serta sebuah lori bermuatan pasir.

Ketua Polis Segamat Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Honda HRV yang bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja pembaikan jalan raya.

Bagaimanapun, kereta tersebut kemudian dirempuh sebuah lori pasir dari arah belakang.

“Tiba-tiba sebuah lori yang membawa muatan pasir yang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar belakang Honda HRV terbabit dan Proton Wira yang sedang berhenti.

“Lori pasir berkenaan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh pula sebuah Perodua Alza dinaiki enam mangsa yang maut itu,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat di talian 07-9325811 atau balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.