‘Generasi baharu’ pemimpin negara mampu pacu perpaduan, kata Ismail Sabri

‘Generasi baharu’ pemimpin negara mampu pacu perpaduan, kata Ismail Sabri

Ramai Ahli Parlimen semasa yang terdiri daripada pemimpin muda mempunyai 'pemikiran lebih terbuka terhadap penyatuan kaum', kata bekas perdana menteri itu.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan bahawa pergolakan kaum akan menggugat kedaulatan negara.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob percaya generasi pemimpin akan datang berupaya mengukuhkan perpaduan.

Dalam kolum pandangan diterbitkan Utusan Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-66, Ismail menzahirkan kekhuatiran mengenai penggunaan retorik perkauman oleh pemimpin kerajaan dan pembangkang pada PRN baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin politik negara telah melalui satu fasa yang baharu, dengan ramai Ahli Parlimen semasa terdiri daripada pemimpin muda yang mempunyai “pemikiran lebih terbuka terhadap penyatuan kaum di negara ini”.

“Generasi baharu pemimpin negara terutamanya ahli politik diharap dapat memainkan peranan penting sepertimana yang telah dimulai oleh Tunku Abdul Rahman dan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain,” katanya.

“Pendekatan untuk memupuk semangat perpaduan harus diubah. Kesepaduan sosial bukan hanya pada makanan atau pakaian tetapi cara pemikiran untuk memahami secara mendalam kepelbagaian yang wujud di negara ini bagi mencari titik persamaan.”

Ismail berkata, walaupun konsep perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perpaduan masih menjadi isu di negara ini, 66 tahun selepas Merdeka.

Katanya, rakyat patut ingat bahawa kemerdekaan negara adalah hasil perpaduan dan toleransi antara kaum pada masa itu.

Rukun Negara

Mengakui isu-isu sensitif seperti hak istimewa Bumiputera, perbezaan warna kulit, kepercayaan agama dan budaya masih sering dipertikai, beliau memberi peringatan bahawa pergolakan kaum akan menggugat kedaulatan negara.

“Lebih teruk, jika berlaku persengketaan yang melarat, ia akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya.

Ismail seterusnya menggesa agar lebih penekanan diberikan terhadap Rukun Negara sebagai panduan untuk mengukuhkan perpaduan negara. Ia dapat membantu meningkatkan kesedaran tentang kemajmukan dan kepelbagaian negara, katanya.

“Kini, Rukun Negara hanya sekadar tercatat di belakang buku kerja anak-anak di sekolah tanpa mereka sendiri mengerti bahawa lima prinsip asas tersebut adalah teras untuk perpaduan negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa keluarga agar mengajar nilai dan pemahaman yang betul tentang perpaduan nasional dan kaum di rumah.

“Defisit sosial sukar untuk dielakkan di negara ini tetapi jurang perbezaan persepsi dan pendapat dalam kalangan kelompok yang berbeza ini harus dirapatkan melalui usaha berterusan di setiap lapisan masyarakat,” katanya.

“Kerajaan dan pemimpin hanyalah pemangkin untuk mengubah paradigma tetapi keluarga yang perlu memainkan peranan utama bagi menghakis rasa syak wasangka terhadap ras, kepercayaan dan perbezaan warna kulit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.