Polis cari suspek bantu siasatan kes rogol berkumpulan

Polis cari suspek bantu siasatan kes rogol berkumpulan

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan Muhammad Nuraffiq Jaafar, 29, yang beralamat di PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

Mangsa berusia 27 tahun dilaporkan dirogol oleh lima individu, disyaki termasuk rakan abang iparnya, di sebuah rumah di Wangsa Maju pada awal pagi Rabu lepas. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes rogol membabitkan seorang wanita yang berlaku di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, lelaki tersebut, Muhammad Nuraffiq Jaafar beralamat di PPR Laksamana, Cochrane 2, Jalan Peel, Kuala Lumpur, lapor Buletin TV3.

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lelaki ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Siti Fadzilah Ahmad Fisal di talian 017-6240252.

Terdahulu dilaporkan dalam kejadian pada kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa tersedar daripada tidur apabila tangannya diikat dan mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat oleh suspek.

Mangsa kemudiannya dirogol bergilir-gilir oleh lima individu, dipercayai termasuk rakan abang iparnya.

Perbuatan terkutuk itu turut dirakam suspek, dan selepas merogol mangsa, kesemua suspek melarikan diri.

Mangsa, seorang pekerja swasta berusia 27 tahun, kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Allaudeen berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

“Polis sudah menjalankan siasatan di tempat kejadian dengan bantuan pasukan forensik dan mangsa sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.