
Presiden Rashid Ka’ berkata ASLI ditubuhkan akhir tahun lalu untuk membela nasib Orang Asli melalui platform yang lebih besar melangkaui NGO sedia ada.
“Tujuan dan matlamat kita untuk perjuangan masyarakat Orang Asli, bukannya berjuang nak melawan kerajaan. Itu tidak betul sama sekali,” katanya kepada FMT.
“Setakat ini pendirian kita menyokong penuh kerajaan perpaduan.”
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kewujudan ASLI akan memecah-belahkan masyarakat Orang Asli.
Pendaftaran ASLI diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 6 Dis 2022 dan sehingga kini berjaya menubuhkan badan perhubungan setiap negeri Malaysia Barat.
Jawatankuasa penaja ASLI sebelum ini dianggotai oleh pemimpin akar umbi dan cerdik pandai Orang Asli dan ia didaftarkan bersama 500 ahli dengan dana sendiri.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor dilapor menyifatkan kewujudan parti baharu yang ditubuhkan oleh Orang Asli akan memecah-belahkan masyarakat itu.
Ramli khuatir kuasa politik Orang Asli akan semakin mengecil, memandangkan mereka hanya ada seramai 213,000 orang di seluruh negara.
Sementara itu, senator yang mewakili Orang Asli, Ajis Sitin menyeru semua pihak melihat secara positif kewujudan ASLI, dan memberikan ia peluang untuk berpolitik.
“Setelah sekian lama masyarakat Orang Asli dipecahbelahkan oleh fahaman politik yang berbeza di peringkat kampung dan penempatan masing-masing, mungkin kemunculan ASLI akan menjadi pemangkin untuk Orang Asli bersatu untuk mengilhamkan kemajuan mereka sendiri,” katanya.
Ajis juga menggesa ASLI meyakinkan kerajaan perpaduan bahawa ia bersamanya dan perjuangannya memartabatkan Orang Asli dan hak masyarakat itu bukan dibuat-buat.
“Kita tidak perlu memperlekehkan perjuangan rakan kita,” katanya.