Laporan awal nahas Elmina minggu kedua Sept, kata Loke

Laporan awal nahas Elmina minggu kedua Sept, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata data daripada perakam suara kokpit masih dianalisa.

Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Julai lalu mengorbankan 10 individu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Laporan awal nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, akan diketahui minggu kedua bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata data rakaman suara 30 minit dalam komponen “memory puck” kini masih dalam proses analisa.

“Seperti saya janjikan, laporan awal akan dikemukakan 30 hari selepas insiden.

“Maka saya menjangkakan laporan awal dapat kita keluarkan pada minggu kedua bulan September,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kapal persiaran Costa Serena di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Pada masa sama, Loke berkata pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Florida, bagi mendapatkan bantuan mengekstrak data daripada pengilang peralatan asal (OEM) yang mengeluarkan kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat terbabit, dijangka pulang esok.

Sebelum ini, lebih 10 individu termasuk pihak syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan polis ke atas nahas pesawat terhempas berdekatan Elmina pada 17 Julai.

Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi adalah orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.