Sekolah vernakular galak perpaduan kaum, menteri beritahu Dr M

Sekolah vernakular galak perpaduan kaum, menteri beritahu Dr M

Aaron Ago Dagang berkata, pelajar Melayu fasih berbahasa Tamil atau Mandarin selepas menamatkan pelajaran di sekolah vernakular.

Aaron Ago Dagang berkata, baru-baru ini beliau mendapat tahu sekolah vernakular membawa banyak manfaat kepada pelajar Melayu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang menepis dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa menutup sekolah vernakular adalah cara terbaik merapatkan jurang perkauman.

“Ia menjadi elemen menggalakkan perpaduan kaum, bukannya perpecahan,” katanya menurut Sin Chew Daily.

Aaron berkata, baru-baru ini beliau mendapat tahu sekolah vernakular memberi banyak manfaat kepada pelajar Melayu kerana mereka fasih berbahasa Tamil atau Mandarin selepas menamatkan pelajaran.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, antara cara terbaik mengurangkan perpecahan kaum adalah melalui pendidikan, termasuk memansuhkan sekolah vernakular.

Beliau juga mendakwa ada “kaum tertentu” enggan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sistem pendidikannya seperti imej “sekolah agama”.

Tetapi, beliau mendakwa meskipun keadaan itu diperbaiki, kaum minoriti tetap tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Bekas perdana menteri itu mengkritik sistem sekolah vernakular dahulu dengan mendakwa ia memecahbelahkan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.