
Beliau berkata, menangani Islamofobia memerlukan penglibatan pelbagai peringkat bersama anggota masyarakat antarabangsa, mekanisme yang ada pada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa lain.
“Ajaran Islam yang sebenar dan cara hidup dipegang dalam al-Quran dan hadis perlu ditunjukkan,” katanya pada majlis makan malam bersama 29 ketua misi dan wakil dari negara anggota OIC di sini, malam tadi.
Zahid berkata, majlis malam itu menunjukkan nilai dan komitmen OIC untuk bersama menjaga serta melindungi kepentingan dunia Islam dalam semangat mempromosikan keamanan dan keharmonian antarabangsa.
“Sebagai negara anggota OIC, kita perlu secara berterusan mengutuk tindakan biadab Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan Wilayah Pendudukan Palestin secara keseluruhannya.
“Tindakan keji rejim itu merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa berbahaya. Ia juga menimbulkan ancaman besar kepada nilai bersama dan aspirasi untuk keamanan.”
Beliau berkata, anggota OIC perlu melibatkan masyarakat antarabangsa lain secara berterusan dan menggesa mereka menjadi perantara agresif terhadap kekejaman Israel.
Katanya, kerajaan Israel perlu dipertanggungjawabkan ke atas perlakuan kejam secara terang-terangan.
“Lima puluh enam tahun telah berlalu sejak aneksasi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, namun perjuangan diteruskan.
“Pelanggaran undang-undang dan kekejaman dilakukan Israel telah mewujudkan ketidakamanan di rantau itu. Pembunuhan yang menyalahi undang-undang, pemindahan secara paksa, penahanan secara salah, sekatan pergerakan dan perluasan penempatan perlu dihentikan.”
Zahid berkata, satu daripada kebimbangan ialah cubaan penjajah Yahudi mencetuskan konflik agama dengan mengenakan temporal dan pembahagian ruangan Masjid Al-Aqsa, di mana tindakan aparteid seperti itu menimbulkan ancaman besar kepada keamanan serta keselamatan antarabangsa.
Katanya, tindakan tentera Israel secara melulu dan menyalahi undang-undang melanggar Perjanjian Status Quo yang dimulakan pada 1757.
“Anggota OIC perlu meningkatkan usaha untuk meminta Israel bertanggungjawab atas tingkah laku kejamnya di wilayah diduduki, sebelum keadaan semakin tidak terkawal.
“Adalah penting kuasa pendudukan mematuhi undang-undang antarabangsa, tanpa ada sebarang pengecualian. Kegagalan berbuat demikian hanya akan memupuk dan mengekalkan budaya ketidakadilan dan bebas daripada hukuman.”
Beliau berkata, dalam melindungi Al-Aqsa, negara Islam mesti konsolidasikan pendekatan mereka.
“Kita memerlukan pendekatan proaktif dan praktikal. Ia harus merangkumi kepimpinan berani, kemahuan politik yang kuat, perpaduan, kekuatan dan nilai menunjukkan kepercayaan kita kongsi bersama.
“Tindakan baharu ini akan menghantar mesej kuat kepada dunia bahawa kesatuan kita tidak mengenal sempadan dalam menjaga rumah Allah ini.”
Sebagai sebuah negara, katanya, Malaysia akan terus berdiri teguh dalam keazamannya untuk menangani isu Islamofobia.
“Komitmen Malaysia terhadap agenda OIC, khususnya mengenai Al-Aqsa, tidak berbelah bahagi dan tegas.”