Hanya 3 jam ‘bebas’, polis tahan semula banduan larikan diri

Hanya 3 jam ‘bebas’, polis tahan semula banduan larikan diri

Banduan warga asing itu dilaporkan melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin di Nilai semalam.

Ketua Polis Nilai Abdul Malik Hasim berkata banduan lelaki berumur 39 tahun itu ditahan semula kira-kira tiga jam selepas menerima laporan daripada pegawai Jabatan Penjara. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Polis berjaya memberkas semula seorang banduan warga asing kira-kira tiga jam selepas melarikan diri daripada Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin di Nilai semalam.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim berkata banduan lelaki berumur 39 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam sekitar 2km dari pusat berkenaan, kira-kira tiga jam selepas menerima laporan daripada pegawai Jabatan Penjara.

Beliau berkata selepas menerima laporan pada pukul 6.55 petang, anggota dari IPD Nilai melancarkan Ops tutup dengan membuat rondaan bermotosikal bagi mengesan banduan itu.

Katanya, siasatan mendapati banduan itu ditempatkan di pusat berkenaan sejak 19 Jun lepas bagi proses pengusiran pada 9 Sept ini.

“Banduan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan pada 2017 atas kesalahan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh,” katanya dalam kenyataan.

Malik berkata suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.