
Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Pau Deih Lian, Kai Lian Mong, Kai Za Muang dan Tuang Siang Muang di akhir kes pendakwaan, tanpa perlu memanggil mereka membela diri atas pertuduhan itu.
Dalam penghakimannya, Muniandy berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan seorang anggota keselamatan dikenali Rajan adalah individu menghayun cota ke arah sekumpulan warga Myanmar ketika pergelutan berlaku.
“Persoalannya adakah Rajan merupakan individu yang memukul mangsa hingga mati? Persoalan itu tidak terjawab sehingga akhir kes pendakwaan memandangkan Rajan tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan lain, individu yang boleh memberikan penjelasan mengenai kejadian ini adalah Rajan kerana dia individu terakhir berbual dengan mangsa, dan satu-satunya individu mempunyai senjata boleh menyebabkan kecederaan senjata tumpul kepada si mati adalah Rajan, bukan orang lain.
“Malah, keterangan pakar patologi di mahkamah turut mengesahkan kematian mangsa disebabkan objek tumpul, namun tiada bukti daripada pihak pendakwaan menunjukkan semua tertuduh bersenjata. Oleh itu, keempat-empat tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh,” kata hakim itu.
Mengikut pertuduhan, mereka berumur 30 tahun hingga 40 tahun itu didakwa dengan sengaja bersama menyebabkan kematian seorang lelaki pekerja kedai kopi yang dikenali dengan nama panggilan “kawan” di Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di sini pada 10 pagi 18 Nov 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Sebelas saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan mulai 28 Feb lalu.