Saya tak diberitahu tentang ‘sumbangan’ ke akaun Najib, tegas Zeti

Saya tak diberitahu tentang ‘sumbangan’ ke akaun Najib, tegas Zeti

Bekas gabenor BNM berkata kenyataan bahawa Najib Razak 'expecting remittances' dalam surat daripada AmBank adalah istilah umum.

Zeti Akhtar Aziz berkata AGC mengenakan denda RM15 juta ke atas 1MDB walaupun BNM mencadangkan RM23 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz menegaskan beliau tidak pernah diberitahu Najib Razak akan menerima “sumbangan” dalam akaun banknya, ketika beliau menjadi perdana menteri.

Zeti dalam keterangannya kepada Mahkamah Tinggi pada perbicaraan Najib berkait 1MDB berkata, beliau hanya bertemu bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang di pejabat Zeti pada 28 Jan 2011, untuk waktu yang singkat.

Beliau berkata Cheah memaklumkan bahawa Najib membuka akaun simpanan dan semasa di AmBank pada 13 Jan tahun itu.

Cheah juga memaklumkan bahawa akaun semasa Najib diberi kod “AmPrivate Banking-MR”.

“Dia tak perlu maklumkan saya,” katanya.

Menjawab pertanyaan Shafee Abdullah selaku peguam, Zeti berkata beliau tidak tanya Cheah kenapa Najib pilih AmBank dan bukan bank lain yang lebih besar.

Katanya, Cheah seminggu kemudian menghantar surat mengesahkan butiran yang dibincangkan pada pertemuan itu.

Ditanya apa dimaksudkan oleh satu kenyataan dalam surat itu bahawa Najib “expecting remittances” (menjangkakan kiriman) dalam akaun berkenaan, Zeti menjawab: “Setiap akaun yang dibuka adalah untuk menerima wang. ‘Expecting remittances’ adalah istilah umum.”

Denda 1MDB

Zeti juga beritahu mahkamah bahawa BNM pada awalnya mencadangkan 1MDB dikenakan denda RM23 juta, kerana gagal mematuhi arahan membawa pulang dananya dari luar negara.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengurangkan kuantum kepada RM15 juta pada 25 Mei 2016.

Ditanya adakah Najib selaku menteri kewangan cuba mengetepikan denda itu, Zeti menjawab tidak.

Najib menghadapi perbicaraan bagi 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait RM2.28 bilion dana didakwa dana 1MDB, yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.