
Panel tiga hakim diketuai Azizah Nawawi sebulat suara memutuskan mahkamah sivil tiada bidang kuasa menyemak keputusan Mahkamah Syariah.
“Perkara keluar Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” kata Azizah yang membuat keputusan bersama See Mee Chun dan Azizul Azmi Adnan.
Mahkamah tidak memerintahkan sebarang kos.
Wanita itu, yang dilahirkan muslimah, mendakwa tidak pernah mengamalkan Islam, bahkan ibunya membenarkannya memilih agama sendiri.
Pada 2018, dia memohon Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengeluarkan perintah dibenarkan murtad kerana mahu memeluk agama Buddha.
Mahkamah Syariah sebaliknya mengarahkannya menghadiri 12 sesi kaunseling.
Dua tahun kemudian, Mahkamah Syariah menolak permohonannya untuk keluar Islam dan mengarahkannya menghadiri sesi kaunseling tambahan. Rayuannya di Mahkamah Rayuan Syariah turut gagal.
Wanita itu kemudian membuat permohonan di mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah, yang didakwanya melanggar Perkara 11 Perlembagaan, iaitu kebebasan beragama.
Permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi tahun lalu yang berkata mahkamah sivil tiada kuasa menentukan kes keluar Islam.