
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan, berkata hasil operasi dijalankan di ibu kota Jumaat lalu, seorang individu didapati menjual produk air zam zam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian.
Beliau berkata, serbuan dijalankan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pejabat Kesihatan Cheras itu menyita sebanyak 83 botol atau 41.5 liter produk air zam zam bernilai RM2,075.
“Di samping itu, satu Notis Kompaun dikeluarkan kepada individu terlibat dengan nilai RM3,000 disebabkan kesalahan bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Radzi berkata, satu serbuan khas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut dijalankan pada Isnin lalu di Petaling Jaya dan sebanyak 10 botol (lima liter) air zam zam bernilai RM1,600 telah dirampas dengan satu notis kesalahan bawah peraturan sama dikeluarkan.
Selain itu, beliau berkata hasil aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan air zam zam adalah berjumlah RM83,618.20 dan 32 iklan berkaitan penjualan produk itu telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang.
Katanya, hasil pemantauan di media sosial sejak 2021 hingga kini, sebanyak 63 iklan air zam zam telah dipadamkan daripada platform itu.
“Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.
“Dalam kes ini, didapati kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan,” katanya.
Justeru, Radzi menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dan membeli produk air zam zam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan, selain melarang penjualan air zam zam di semua platform sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian.
“Mana-mana peniaga atau pengedar yang masih mempunyai stok air zam zam tersebut diarahkan untuk menghentikan serta merta penjualan dan seterusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau menyalurkan aduan menerusi laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.