
Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada 57 ketua daerah, 272 ketua anak negeri, 648 wakil ketua anak negeri, 2,810 ketua kampung dan 176 kapitan di seluruh negeri.
Katanya, ketua daerah akan menerima RM3,500 berbanding RM2,700 sebelumnya, ketua anak negeri RM2,500 (RM1,700), wakil ketua anak negeri RM1,300 (RM900), ketua kampung dan kapitan RM1,200 (RM700).
“Antara justifikasi kenaikan elaun itu ialah sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat ketua adat dalam masyarakat. Ini termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah.
“Kerajaan negeri mengiktiraf peranan penting ketua adat sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dan kenaikan itu bertujuan meningkatkan motivasi ketua adat untuk memberikan perkhidmatan yang penuh integriti kepada masyarakat,” katanya menurut Bernama.
Hajiji berkata, kenaikan itu sudah lama tertunggak dengan semakan terakhir dilakukan pada 2013, yang mana ia kekal tidak berubah manakala kos sara hidup meningkat.
Katanya, ia adalah bukti komitmen kerajaan untuk memenuhi keperluan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan berkualiti selaras aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.