Sabah ada syarikat penerbangan sendiri menjelang 2024

Sabah ada syarikat penerbangan sendiri menjelang 2024

Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd Kenny Chua berkata pihaknya akan menyewa sekurangnya tiga pesawat sebelum akhir tahun ini.

Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd Kenny Chua berkata tiga nama dicadangkan untuk syarikat penerbangan tersebut iaitu Sabah Airlines, Air Borneo atau Borneo Airlines.
PETALING JAYA:
Syarikat penerbangan milik Sabah dijangka ditubuh dan beroperasi menjelang tahun depan, kata Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB), Kenny Chua.

Beliau juga berharap dapat menandatangani perjanjian sewaan sekurang-kurangnya tiga pesawat menjelang akhir tahun ini, tanpa terhad kepada Airbus atau Boeing.

“Rundingan sedang berlangsung secara berperingkat. Siapa tahu, kita mungkin melancarkan lebih awal daripada Sarawak,” katanya, merujuk kepada pemerolehan MasWings oleh Sarawak.

Kenny Chua.

Chua berkata, sebelum ini, Sabah terlalu bergantung pada pembiayaan persekutuan tetapi kini ia berada pada landasan sama dengan Sarawak, dengan pelaburan asing mengalir ke negeri itu.

“Kita memerlukan syarikat penerbangan dan hab terminal kargo sendiri. Kita mempunyai lesen, jurutera penerbangan, juruterbang dan lapangan terbang kita sendiri. Tidak ada apa pun yang boleh menghalang kita lagi,” katanya.

Chua mencadangkan tiga nama berpotensi untuk syarikat penerbangan itu iaitu Sabah Airlines, Air Borneo atau Borneo Airlines.

Keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan lembaga SAASB dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, lapor Daily Express.

Chua juga berkata, syarikat penerbangan baharu itu akan mengikuti model perniagaan kos rendah yang boleh bersaing dengan pengendali sedia ada. Laluan yang sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, dan MyAir.

“Orang Sabah, terutama pelajar dan kakitangan awam, akan mendapat diskaun harga tiket untuk penerbangan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu,” katanya.

Chua berkata, SAASB sedang dalam proses mengambil alih Terminal 2 AirAsia di Tanjung Aru untuk diubah suai menjadi terminal kargo.

“Tetapi terdapat isu-isu tanah yang perlu diselesaikan sebelum semua kargo boleh dipusatkan di sana. Mungkin mengambil tiga bulan sebelum pembinaan boleh dimulakan.”

Pada Mei, Borneo Post melaporkan Adun Kuamut, Masiung Banah, berkata beliau akan membawa usul di DUN Sabah untuk negeri itu menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.

Bekas timbalan menteri pengangkutan, Aziz Kaprawi, menyambut baik cadangan itu, katanya ia boleh membantu meningkatkan industri pelancongan Sabah, terutama dalam mencipta hubungan lebih baik dengan China dan Taiwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.